Friday, April 22, 2005

Cinta Fotokopi bantu Misi Suara Hati - Berita Harian Online

Oleh Muriza Abdul Hamid
Image hosted by Photobucket.com

PENGARAH dan pelakon Cinta Fotokopi yang hadir pada
tayangan amal filem itu, baru-baru ini.


FILEM Cinta Fotokopi yang mula menemui penonton semalam terlebih dulu dibuat dua tayangan amal pada 18 dan 19 April lalu bagi membantu pesakit Sim Yee Lim yang menghidap penyakit leukemia. Ia mencapai matlamatnya apabila lebih 500 penonton menghadirinya menerusi tayangan di Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM), Shah Alam.



Tayangan kedua diadakan di Kolej Ikram, Bangi yang menyaksikan sambutan juga cukup baik dan sememangnya filem itu sesuai dengan cita rasa remaja serta pelajar institusi pengajian tinggi. Sambutan yang diberikan juga melegakan penerbitnya kerana filem dalam genre romantik komedi itu mendapat pujian sebahagian besar penonton.

Ini terbukti apabila selepas sesi tayangan, ramai penonton mengucapkan tahniah kepada pengarahnya, Prof Madya Razak Mohaideen serta beberapa pelakon filem itu yang hadir, antaranya Farid Kamil, Khai, Irma Hasmie, Pierre Andre an Dynas.

Acara tayangan amal filem terbaru Metrowealth Movies Productions (MMP) itu adalah satu projek murni bagi menjayakan program Misi Suara Hari, rancangan bercorak kemasyarakatan terbitan Astro. Ia juga mendapat kerjasama Kelab Budi Penyayang Malaysia.

Kos untuk menampung pembedahan pemindahan tulang sum-sum Sim Yee Lim ialah sebanyak RM50,000 dan hasil kutipan menerusi tayangan itu akan disalurkan bagi tujuan berkenaan. Lapan pelajar yang menjayakan Misi Suara Hati harus mengumpul jumlah wang sebanyak itu sebelum 27 April ini, termasuk menjalankan pelbagai lagi kegiatan amal.

Sim, 19, dari Taman Muda, Cheras menghidap penyakit leukemia jenis Large Granular Cell Lymphocyte dan memerlukan pembedahan segera untuk memindahkan sum-sum tulangnya.

Sesi tayangan pertama di KUTPM dirasmikan Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KUTPM, Prof Madya Dr Mohd Zainul Fithri Datuk Othman. Hadir sama, penerbit, pengarah dan pelakon filem berkenaan. Tayangan kedua di Kolej Ikram turut diserikan persembahan dua lagu irama tradisional dendangan Lily Suhana - Joget Berdendang dan Zapin Asmara yang turut dimuatkan dalam filem itu.

Secara keseluruhan, Cinta Fotokopi berjaya menggamit kenangan penonton kerana ia memaparkan kisah sekolah dan universiti. Ceritanya ternyata kelihatan dekat pada hati remaja dan tidak hairanlah ia mendapat reaksi memberangsangkan ketika sesi tayangan itu diadakan.

Penerbit Cinta Fotokopi, David Teo, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan pihak yang berminat untuk membuat tayangan amal bagi setiap filem keluarannya.

“Cinta Fotokopi mula ditayangkan menerusi 30 pawagam di seluruh negara bermula 21 April,” katanya.

Pelakon lain filem itu ialah Zarina AF, M Rajoli, Khatijah Tan, Zulkifli Zain, Normala Omar, Bob dan Adam AF. Ia adalah filem ke-15 keluaran MMP dan selepas ini MMP bakal menyajikan peminat filem tempatan dengan judul Lady Boss, Anak Mami Kembali dan Main-Main Cinta.

No comments: