Friday, April 15, 2005

Misi Suara Hati bermula

oleh Norhayati Nordin

UMPAMA kata pepatah, melentur buluh, biar dari rebungnya. Dalam soal ini, lapan anak muda prihatin berpadu tenaga menjayakan misi suara hati mereka untuk mengumpul dana membantu sahabat yang memerlukan.

Sekalipun, terpaksa ‘menebalkan muka’ mencari syarikat korporat yang berminat untuk bekerjasama dengan projek amal mereka, ia bukan masalahnya. Apa yang pasti, misi suci mereka mencapai sasaran.

Bagi ketua kumpulan pertama Misi Suara Hati yang kini ditayangkan di Astro Ria, Jegatish Kumar Kasavan, 23, berkata dia bersama tujuh rakan lain diberi tempoh 27 hari untuk mengumpul dana sebanyak RM50,000.

“Dana ini untuk menampung kos pembiayaan pembedahan sum-sum tulang, Sim Yee Lim, 19, yang dikesan menghidap penyakit leukimia sejak Oktober tahun lalu. Namun, hingga kini kami berjaya mengumpulkan lebih RM1,000.

“Bagaimanapun, dengan kesudian Metrowealth Movies Production (MMP) membenarkan kami menganjurkan tayangan amal filem Cinta Fotokopi terbitannya, diharap usaha ini berhasil. Tayangan ini akan diadakan pada 19 April ini.

“Kami mensasarkan sebanyak RM10,000 akan berjaya dikutip menerusi tayangan amal ini. Dengan harga tiket RM10, kami menggesa orang ramai hadir demi membantu insan memerlukan seperti Sim,” katanya.

Kata Jegatish, tayangan amal itu akan bermula jam 8 malam di Dewan Kolej Ikram (KLIUC), Bangi. Dewan ini dijangka boleh memuatkan seramai 700 pengunjung yang hadir dari sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Selain itu, kami juga akan terbabit dengan beberapa program lain yang dirancang seperti Pesta Air Suara Hati di Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland, Putrajaya pada 21 April ini, jam 8 pagi hingga 7 malam.

“Pada 21 April pula, kami menganjurkan pertandingan futsal di Indoor Soccer, Bangi, jam 8 pagi hingga 6 petang dan program makan malam amal di Legend Grand Ballroom, Hotel The Legend Kuala Lumpur, jam 7 hingga 11 malam, 24 April ini.

“Malah, kami turut menganjurkan Karnival Suara Hati dan Konsert Gala Misi Suara Hati pada 1 Mei ini di Stadium Melawati Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 11 malam. Justeru, kehadiran orang ramai dialu-alukan,” katanya.

Menurut pelajar jurusan undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, dia bersama ahli kumpulannya yakin bahawa misi mereka akan berjaya. Katanya, kerjasama diberikan MMP amat bermakna.

Jegatish yang ditemui dalam sidang akhbar di pejabat MMP Subang Jaya kelmarin, berkata, semua usaha untuk mengumpul dana itu sudah dilakukan kumpulannya dengan baik. Namun, kini adalah sokongan orang ramai.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Pengarah Urusan MMP, David Teoh, Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz, Pengarah Cinta Fotokopi, Prof Madya A Razak Mohaideen dan pelakon filem Cinta Fotokopi seperti Mohd Pierre Andre, Irma Hasmie dan Bob (AF2).

Bagi orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung Misi Suara Hati 1, boleh menghantarkannya ke :

Tabung Misi Suara Hati 1
106, Rumah Tetamu,
Kolej Ungku Omar,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600, Bangi,
Selangor Darul Ehsan


atau akaun RHB Bank Berhad, 214129-00190011

Anda juga boleh hubungi talian, 03-8922 1740

No comments: